Assalamualaikum
Dalam sehari dua lagi kita akan memasuki bulan Ramadan.
“Ahlan wa sahlan ya Ramadan! Selamat datang wahai bulan Ramadan! Bulan penuh berkah!”
Marhaban ya Ramadhan,
Allahumma Ballighna Ramadhan.
Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ‘Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’ (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).
Ramadhan merupakan bulan yang suci dan mulia yang kehadirannya sentiasa didambakan oleh setiap muslim, di mana saja mereka berada. Bulan ini merupakan bulan yang dipenuhi dengan rahmat dan berkah dari Allah S.W.T. Dalam bulan Ramadhan yang agung itu banyak peristiwa penting terjadi, seperti kemenangan kaum muslimin dalam perang Badar, terbukanya kota Makkah, bulan diturunkannya al-Quran, bulan yang di dalamnya terdapat malam kemuliaan yang disebut Lailatul Qadar; iaitu suatu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan.
Dalam bulan Ramadhan juga, setiap ibadah kita akan dilipat gandakan balasannya dan setiap orang yang beriman dituntut untuk berbuat kebajikan, beribadah dan bermu’amalah sepertimana yang diajarkan Islam.
Keistimewaan bulan Ramadhan banyak disebutkan dalam hadis Nabi S.A.W, mafhum salah satu diantaranya:
“Solat lima waktu, antara Juma’at dengan Juma’at yang lain, antara Ramadhan dengan Ramadhan berikutnya dapat menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan di antaranya, selagimana tidak melakukan dosa-dosa besar”. (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam satu hadis yang lain, dari Abu Hurairah R.A., Nabi S.A.W bersabda:
“Siapa yang melaksanakan puasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka akan diampuni dosanya yang telah berlalu”. (Hadis Riwayat Bukhari).
Dari Abu Hurairah R.A, “Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah S.W.T telah mewajibkan kepadamu berpuasa pada bulan tersebut. Pada bulan tersebut akan dibukakan pintu-pintu langit, dan ditutupkan pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan akan dibelenggu. Pada bulan tersebut terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Siapa yang tidak memperoleh kebajikan di malam tersebut, maka ia tidak memperoleh kebajikan apapun”. (Hadis Riwayat al-Nasa’i dan Ahmad)
Seseorang yang melaksanakan puasa di bulan Ramadhan sesuai dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya akan memperoleh keistimewaan-keistimewaan yang belum pernah diberikan kepada umat yang lain selain daripada umat Nabi Muhammad S.A.W. Dengan keistimewaan-keistimewaan itu manusia akan meraih kebaikan dan kebahagiaan, baik di dunia maupun di akhirat.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Telah diberikan kepada umatku di bulan Ramadhan, lima hal yang belum pernah diberikan kepada seorang Nabipun sebelumku iaitu:
- Pada awal bulan Ramadhan, Allah S.W.T melihat umatku. Sesiapa yang dilihat oleh Allah, maka dia tidak akan diseksa untuk selama-lamanya.
- Bau mulut orang yang berpuasa, di sisi Allah lebih baik dari bau misk (kasturi).
- Para malaikat memohon keampunan untuk umatku siang dan malam.
- Allah S.W.T memerintahkan (penjaga) syurga-Nya: “Bersiap-siaplah dan berhiaslah kamu untuk hamba-hamba-Ku, mereka akan beristirehat daripada kesulitan/kesusahan hidup di dunia menuju ke tempat-Ku dan kemuliaan-Ku”
- Pada akhir malam bulan Ramadhan Allah S.W.T akan mengampuni dosa-dosa mereka seluruhnya.
Seorang sahabat bertanya: “Apakah itu malam Qadar wahai Rasulullah?”. Nabi menjawab: “Tidak, tidakkah kamu mengetahui bahawa para pekerja, apabila mereka selesai dari pekerjaannya, nescaya akan dibayar upahnya”. (Hadis Hasan, Riwayat al-Baihaqi dalam kitab Syua’b al-Iman: 3450)
Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramdhan kali ini.
Di sini terdapat beberapa perkara yang kita boleh lakukan sebagai persediaan untuk ‘menikmati’ ramadhan dengan penuh kesungguhan dan terbaik. Mudah-mudahan ramadan kali ini, kita telah pun membuat persediaan awal sebagai bukti cinta kita untuk berubah menjadi lebih baik dan dekat kepada Allah.
Antara persediaan yang boleh dilakukan SEBELUM TIBANYA RAMADAN….
Dari sudut kerohanian dan keimanan
1. Taubat yang bersungguh-sungguh (banyakkan Istighfar, meninggalkan maksiat yang selalu dilakukan).
2. Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan. Kadang-kadang tidak semua orang dikuniakan nikmat bertemu ramadhan kerana kita belum tahu lagi nasib kita untuk hari esok. Semuanya di tangan Allah. Boleh jadi Allah tarik nyawa kita esok hari, siapa tahu. Kita hanya berdoa dan mengharap yang terbaik.
3. Membaca/bertadarus Al-Quran (meletakkan matlamat satu juzuk sehari. Paling kurang khatam al-Quran sekali pada bulan Ramadhan).
4. Kuatkan semangat untuk bangun malam (Qiamullail).
5. Berzikir setiap masa, Al-Mathurat pagi dan petang.
Dari sudut ilmu pengetahuan
Pepatah mengatakan “Tak Kenal Maka Tak Cinta”.
Jika kita tidak mengenali apa itu ramadan dan intipatinya maka tidak mudah untuk kita merasa cinta kepadanya.
Oleh itu sebagai alternatifnya hendaklah kita:
1. Membaca/belajar buku Feqah Puasa dengan lengkap beserta kelebihan, rahsia, dan tafsiran ayat Al-Quran yang berkait dengan puasa.
2. Membaca buku-buku penyucian jiwa.
3. Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.
4. Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai imam atau makmun di bulan Ramadhan.
Berkongsi semangat ramadan dengan orang lain.
Sharing is caring. Mereka yang bersemangat dan rindu akan bulan ramadan pasti tidak akan membiarkan teman-temannya lalai dan leka tanpa menikmati ramadhan seperti anda.
1. Bersedia untuk memberi tazkirah/ceramah tentang kelebihan dakwah di bulan Ramadhan.
2. Menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid samada sebagai penceramah atau pendengar.
3. Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan untuk Ramadhan.
4. Memberi hadiah Ramadhan kepada rakan-rakan dengan tujuan mendekatkan diri dan mereka kepada Allah.
5. Menyediakan risalah/majalah kecil untuk jiran-jiran tentang persediaan menyambut Ramadhan.
Keluarga kita sendiri
1. Membuat persediaan bersama seluruh ahli keluarga untuk menyambut Ramadhan terutama dari aspek iman dan ilmu.
2. Membaca buku berkaitan Ramadhan bersama-sama.
3. Membuat tadarus al Quran bersama ahli keluarga selepas solat maghrib atau bila-bila masa yang sesuai.
4. Mengajak ahli keluarga solat fardu berjemaah di surau atau masjid terdekat.
Harap dapat berkongsi artikel ini kepada kawan. Sharing is LOVING.
Setiap kali tiba ramadhan, saya sentiasa teringat akan lagu ini. Best lagu nie.